Blog ini didedikasikan buat semua yang rasakan ia perlu dan bermanfaat.. Aku hanya hamba kecil yang diberi ruang untuk berkarya di alam maya..
Tuesday, December 21, 2010
Kemasukan ke IPT awam 2011/2012
PERMOHONAN kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hendaklah melalui aplikasi dalam talian sepenuhnya bagi akademik 2011/2012.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya menyatakan, langkah penguatkuasaan itu sejajar keputusan mesyuarat Jemaah Menteri supaya Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) menjadi pusat pengambilan setempat.
Menurut kenyataan itu, pusat berkenaan akan menyelaraskan permohonan dan pemilihan kemasukan ke program sijil dan diploma di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) serta Institusi Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi 2011/2012.
“Penguatkuasaan itu selaras dasar kerajaan menaikkan institusi TEVT dan ILKA dalam usaha meningkatkan akses serta ekuiti lepasan sekolah menengah melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan dan kemahiran,” jelas kenyataan itu.
KPT mensasarkan 70 peratus daripada 467,766 calon lepasan SPM 2010 mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup permohonan Fasa 1 manakala selebihnya fasa 2.
Institusi terbabit bagi kemasukan ke program sijil dan diploma ke institusi TEVT dan ILKA adalah Politeknik, Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institusi Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Kolej Komuniti.
Kenyataan itu menyatakan, permohonan ke IPTA dibahagikan empat kategori membabitkan kategori A bagi pemohon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 manakala kategori B (SPM tahun 2009 dan SPM tahun 2008), kategori C (SPM tahun 2007 atau sebelumnya atau sijil yang setaraf yang diiktiraf IPTA) manakala kategori D (pemohon yang menggunakan keputusan SPM 2008 dengan sijil ulangan SPM 2009 atau 2010 atau SPM 2009 dengan sijil ulangan SPM 2010).
Menurut kenyataan itu, bagi kemasukan ke institusi TEVT dan ILKA pula, permohonan terbuka kepada lepasan SPM atau setaraf atau lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau lepasan sekolah menengah.
Pelaksanaan permohonan dilaksanakan dua fasa iaitu Fasa 1 membabitkan pendaftaran permohonan manakala Fasa 2 membabitkan pengesahan permohonan.
Pendaftaran permohonan bagi fasa 1 dibuka awal November 2010 lalu dan tarikh tutup 31 Disember ini manakala pengesahan permohonan pula (10 Januari 2011) dan tutup (4 April 2011).
Pemohon boleh membeli Nombor Pengenalan Diri dengan harga RM10.60 di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin wang atau pesanan ringkas (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara sehari selepas iklan disiarkan pada 10 Januari 2011.
Sebarang maklumat, senarai program yang ditawarkan di IPTA, institusi TEVT dan ILKA, syarat am dan khas, dasar, prosedur permohonan, kriteria pemilihan, pekeliling dan penganjuran Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011, sila layari laman web http://upu.mohe.gov.my.
sumber: Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment