Tulisan saya di akhabar pada tahun 2008 tetapi masih relevan hingga kini.
Kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami
dilema untuk memilih ke mana yang mereka perlu ditujui untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sebilangan mereka mungkin selesa
berada di pusat matrikulasi di seluruh negara.
Sejumlah lagi
mungkin tercari-cari destinasi paling sesuai untuk mereka meneruskan
pelajaran. Sebagai bekas pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM), saya cadangkan supaya pelajar menyambung dan meneruskan
pelajaran ke tingkatan enam.
Saya masih ingat lagi kenangan
manis ketika dijulang sebagai pelajar Melayu pertama Melaka memperoleh
empat Prinsipal A dalam STPM. Malah, lebih manis lagi gambar kejayaan
itu menghiasi halaman utama akhbar ini pada 26 Mac 2005.
Namun,
segala-galanya kini tinggal kenangan. Hari ini saya amat kecewa dengan
sikap sesetengah masyarakat yang memandang sepi kepada status tingkatan
enam, terutama orang Melayu.
Mereka beranggapan tingkatan enam sebagai membuang masa dan mempunyai tahap rendah.
Malah,
beberapa minggu lalu, dalam sebuah rancangan radio juruhebah juga
memperkecil-kecilkan usaha seorang pendengar yang ingin meneruskan
pelajaran di tingkatan enam.
Dalam banyak hal, sebenarnya
masyarakat kita, iaitu orang Melayu terlupa bahawa tingkatan enam sudah
lama digunakan pelajar bukan Bumiputera untuk menyambung pelajaran ke
peringkat ijazah di universiti awam.
Bagi mereka, tingkatan enam
adalah jalan pintas paling menjimatkan untuk mereka mendapatkan tempat
di universiti. Dengan hanya belajar selama satu setengah tahun dan
bayaran yuran sekolah tahunan yang tidak sampai pun mencecah angka
seribu ringgit, mereka berupaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Senario ini tidak berlaku di kalangan ibu bapa Melayu. Adakalanya
ibu bapa sendiri tidak menggalakkan anak mereka ke tingkatan enam.
Malah, mereka lebih tertarik untuk menyambung pelajaran ke kolej swasta
yang ada kalanya mutu pelajarannya boleh dipertikai dan tidak diiktiraf
Majlis Kelayakan Kebangsaan (MQA).
Mereka sanggup
berbelanja beribu-ribu ringgit untuk hanya sekeping diploma. Walhal,
dengan jumlah wang sebanyak itu mungkin mereka boleh membiayai pelajaran
anak mereka di tingkatan enam dan seterusnya pengajian di peringkat
ijazah di universiti awam.
Bahkan, dalam keadaan negara
sedang berjimat sekarang, tingkatan enam adalah jalan yang baik untuk
digunakan oleh pelajar Melayu. Tiada gunanya jika kita berhabis ribuan
ringgit jika kita hanya memperoleh sekeping diploma yang belum tentu
laku di pasaran.
Saya meminta pelajar Melayu supaya melakukan
anjakan paradigma dalam pemikiran mereka supaya menjadikan tingkatan
enam sebagai platform terbaik untuk ke universiti. Saya cukup optimis
tingkatan enam adalah landasan terbaik untuk berjaya jika seseorang
mempunyai semangat dan iltizam tinggi.
Malah, jika pelajar
Melayu memilih untuk ke tingkatan enam, ia serampang dua mata kerana
secara tidak langsung kita dapat menambahkan jumlah graduan Melayu di
universiti awam dan seterusnya mengatasi masalah komposisi pelajar
Melayu yang semakin mengecil di universiti awam ternama di negara ini.
MOHD AMIRUDDIN MD NOR,
Bacang, Melaka.
BERITA HARIAN 8 JULAI 2008